Sabtu, September 20, 2008

Erra - Emran Teruja Tunggu Mac 09

Media Galeri




Teks & foto oleh Razif Rosdi


KUALA LUMPUR, 18 SEPT 2008:
Berita gembira mengenai primadona filem tempatan, Erra Fazira Wan Chik yang mengandung 3 bulan bukan lagi satu rahsia. Penantian dari peminat yang mahu melihat Erra dan suaminya, Engku Emran Zainal Abidin menimang cahaya mata bakal menyusul menjelang Mac 2009.


"Alhamdulillah, Erra bersyukur sangat. Apa yang dihajati selama ini dimakbulkan Allah. Esok iaitu 18 September 2008, kandungan Erra genap 3 bulan. Erra pun dijangka bersalin pada 25 Mac 2009, insya-Allah," ujar Erra yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Suria FM, di Hotel Equatorial, semalam.


Erra yang semakin berseri terharu dia dan suami tidak menjangka dikurniakan rezeki apatah lagi dia pernah gugur pada Mac lalu ketika majlis gemilang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.




"Sebenarnya, pada awalnya Erra tak mahu umumkan dulu cerita pasal hamil ini. Kalau boleh Erra nak tunggu genap 3 bulan baru bagi bertahu media. Tetapi Emran yang lebih awal umumkannya kerana dia terlalu teruja hendak jadi ayah.


"Erra pun syak Era mengandung ketika Erra dan kawan-kawan pergi diving di Pulau Tioman, beberapa bulan lalu. Waktu itu, Erra terasa sakit lain macam sikit. Jadi, sebelum turun diving Erra pun buatlah pregnancy test sendiri. Terkejutnya Erra apabila keputusannya positif. Pun begitu, Erra masih lagi was-was.


"Bagi mendapat kesahihan, Erra cuba sekali lagi esoknya. Selepas cuba, hasilnya tetap sama iaitu positif tapi Erra masih sorok daripada Emran, konon-konon nak buat surprise. Bagaimanapun, kejutan itu tidak menjadi kerana Erra tertinggal pregnancy test itu di atas meja dalam rumah.


"Sebelum Erra buka mulut, Emran lebih dulu tanya pada Erra... Awak mengandung ke? Erra terkejut sebab dah kantoi. Rupa-rupanya Cik Abang dah tahu," cerita Erra.


Berat Badan Erra Dah Naik 4 kilo


Aktres yang dikenali dengan sikap tahan lasak itu kini terpaksa berehat seketika bagi menjaga kandungannya. Dia tidak dibenarkan langsung mengangkat benda-benda berat atau makan benda-benda yang 'tajam'.


"Kerja berlakon masih macam biasa, cuma Erra buat benda-benda ringan. Selepas kena pembawak budak, perubahan yang paling ketara ialah Erra makin kuat makan. Tapi, Erra syukur sebab setakat ini tak dapat sebarang alahan.


"Yang penting, berat badan Erra makin naik. Dulu berat Erra 54 kg tapi sekarang 58 kilo. Di rumah Erra kerap melayari Internet dan banyak membaca. Erra gembira sangat sebab semua orang yang Erra jumpa tak lokek kongsi tips hamil.


Ditanya tentang harapan menimang anak lelaki atau perempuan, Erra berkata: "Kalau ikut Emran, dia tak mahu Erra scan jantina anak tapi Erra tetap mahu scan untuk persiapan kelak. Apapun, ramai kata Erra mungkin hamil anak lelaki. Mungkin betul sebab Erra jadi makin kasar dan tak suka bersolek.


"Yang lucu tu, masa Erra mula-mula hamil, Erra ada hajat dan terus bagi tahu Emran. Erra mahu dia tukar kereta dari 2 pintu kepada 4 pintu. Syukurlah, hajat Erra diikuti Emran," katanya.


Sementara itu, pada majlis buka puasa semalam, krew Suria FM telah menjemput ramai ibu tunggal dan memberikan sumbangan. Selain kemunculan semua penyampai radio terbabit, ramai artis hadir memeriahkan majlis seperti Dayang Nurfaizah, Ramlah Ram, Farah Asyikin, Farawahida, Rain, Saiful Malaysian Idol dan Sofaz.

Tiada ulasan: