Sabtu, September 20, 2008

utusan

iburan

Pelakon Nana Tanjung sibuk beraya

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM


PELAKON utama Nana Tanjung. Dari kiri, Ainul Aishah Azizun, Jehan Miskin dan Fasha Sandha.

PELAKON Fasha Sandha, Jehan Miskin dan pendatang baru, Ainul Aishah Azizun kini saling sibuk memenuhi jadual promosi filem Nana Tanjung arahan Profesor Razak Mohaideen yang akan ditayangkan pada 9 November ini. Dalam pada itu, seperti umat Islam yang lain mereka tetap tidak abaikan budaya saling ziarah menziarahi bagi merapatkan silaturahim pada bulan Syawal ini.

*Fasha raya di kampung

Nur Fasha Sandha Hassan, 22, kali ini beraya di Seberang Jaya, Butterworth.

“Raya lalu kami sekeluarga beraya di rumah emak saudara saya di Bintung, Perlis. Kali ini kami beraya di rumah Seberang Jaya pula. Saya hanya dapat cuti selama seminggu sahaja.

“Pada awal November ini saya akan mula bekerja di lokasi penggambaran untuk drama Natasha 2. Nak kata buat rumah terbuka itu tidaklah. Kalau di kampung orang memang saling kunjung mengunjungi,” katanya yang pertama kali beraya tanpa kekasih.

Sebelum ini ,selama empat tahun Fasha menyambut raya bersama kekasihnya, namun tahun ini semuanya berbeza.

Dia yang bakal muncul dalam filem Cicak Man, Cinta, 7707 dan Badai Pasti Berlalu tidak kisah biarpun beraya tanpa kekasih.

“Walaupun hubungan kami sudah putus tapi sesekali kami masih lagi berhubungan sebagai kawan,” katanya terus terang.

*Jehan Miskin raya bersama Jue

Dulu kalau tanya pada pelakon Jehan Miskin, raya tahun ini sambut di mana? Jehan atau nama penuhnya Mohd. Jehan akan berkata kemungkinan besar beraya di Utara bersama keluarga di sebelah bapanya.

Kali ini lain pula jawapannya. Jehan yang memegang watak Zulkarnain dalam filem Nana Tanjung itu dengan yakin memberitahu yang dia menyambut raya di Kuala Lumpur bersama kekasih barunya, Zuliana Abd. Aziz, 23, atau mesra dengan panggilan Jue.

“Kali ini saya bersama keluarga beraya di sini dan pada kesempatan itu juga saya beraya bersama Jue dan keluarganya,” katanya tanpa berselindung.

Menyentuh mengenai tradisi rumah terbuka, Jehan sambil tersenyum berkata, selalunya dia yang diundang dan bukan mengundang.

Tegasnya, dia akan sentiasa memenuhi setiap undangan rumah terbuka kerana pada ketika itulah berpeluang bertemu ramai rakan artis.

“Kerap kali produser yang buat rumah terbuka dan selalunya pelakon-pelakon tidak akan menolak kalau ada waktu lapang,” katanya yang bakal mencecah usia 27 pada 4 Disember ini.

Jehan yang sudah tidak berselindung lagi tentang hubungan cintanya dengan Jue itu berharap orang ramai tidak memandang serong padanya.

Katanya, dalam hal berkaitan hati sesiapa pun tidak boleh merancang dan dia sendiri tidak jangka akan rapat dengan Jue.

“Dulu Jue bersama Ako Mustapha dan sekarang dia bersama saya. Antara saya dan Ako berbeza, namun sehingga kini kami masih berkawan,” katanya yang turut mendapat nasihat daripada Ako itu.

*Ain pertama kali beraya sebagai artis

Setiap tahun Ain atau Ainul Aishah Azizun, 21, sekeluarga beraya di Sungai Lokan, Butterworth bersama keluarga sebelah ayahnya.

Ain yang pertama kali menyambut raya sebagai artis menerusi filem Nana Tanjung beraya bersama sanak saudara selama seminggu.

“Kami balik kampung pada 21 Oktober lalu. Dulu kami sekeluarga sering juga balik ke Terengganu, keluarga sebelah ibu tapi sejak atuk dan nenek meninggal dunia, kami selalu balik Butterworth,” katanya yang merupakan pelajar semester akhir jurusan kreativiti multimedia di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Walaupun sudah berusia 21 tahun, setiap kali lebaran, Ain tetap dapat duit raya kerana statusnya sebagai pelajar.

Tapi anak kedua daripada empat beradik itu tidak membelanjakan wang tersebut sesuka hati.

Selesai beraya di kampung, Ain tidak melupakan rakan-rakannya di Kuala Lumpur.

“Kami berkumpul pada hari minggu untuk pergi rumah terbuka. Rumah saya jarang buat sebab emak saya bekerja. Kami keluar dari pagi sampai petang untuk melawat rakan-rakan. Rakan-rakan saya terdiri daripada rakan-rakan belajar dan model,” katanya terus terang.

Tiada ulasan: